Banjir melanda Ibu kota lagi! Walapun hujan tidak begitu lebat seperti bulan Disember lalu, tapi banyak kawasan ditenggelami air setelah hujan turun melebihi 3 jam. Kita doakan semoga semua yang terlibat diberikan kemudahan olehNya. Namun, ada beberapa hal menarik yang boleh kita pelajari dari negara luar. Antaranya adalah, Jepun!
Secara geografi, Jepun adalah negara yang sering dilanda bencana alam terutamanya gempa bumi, tsunami, ribut taufan dan banjir. Namun, kecekapan penduduk di negara matahari terbit dalam menghadapi bencana sentiasa menjadi buah bibir masyarakat antarabangsa. Sebenarnya ada beberapa perkara yang boleh kita pelajari daripada mereka.
Ibu kota Jepun iaitu Tokyo memilki 100 buah sungai sehingga mudah ditenggelami banjir. Namun, pada tahun 1992 mereka mula membina satu sistem yang dinamakan Metropolitan Area Outer Underground Discharge Channel (MAOUDC). Projek kawalan banjir bawah tanah yang terbesar di dunia ini berfungsi untuk mengalihkan limpahan air dari bandar raya tersebut dan kawasan sekitarnya. Air akan masuk ke dalam silinder gergasi yang sangat besar yang boleh memuatkan Statue of Liberty. Apabila hujan reda, air tersebut akan dipam ke Tokyo Bay. Kali terakhir ia digunakan adalah pada tahun 2017 dan telah menjimatkan kos pembersihan sekitar RM5.8 bilion.
Selain itu, media massa sentiasa melaporkan ramalan cuaca dan bencana yang bakal berlaku. Mereka mengeluarkan statistik kemusnahan daripada kejadian sebelumnya sehingga orang awam lebih bersedia dari segi mental dan fizikal dalam menghadapi sebarang kemungkinan. Notifikasi amaran juga diberikan melalui telefon bimbit. Ia bukan sekadar SMS biasa namun berbunyi dan bergetar dengan kuat sehingga boleh membangunkan mereka yang sedang tidur! Dengan cara ini, semua orang dapat menyelamatkan diri masing-masing terutama jika terjadi gempa bumi secara tiba-tiba.
Bagi yang tak memiliki telefon bimbit, tidak perlu risau kerana setiap kawasan kediaman memiliki pembesar suara. Saya masih teringat pengalaman semasa dilanda Taufan Hagibis pada tahun 2019 di mana pengumuman mengenai tempat evakuasi dan keadaan semasa disampaikan secara berkala melalui pembesar-pembesar suara tersebut. Di Malaysia, mungkin pembesar suara di masjid dan surau boleh dimanfaatkan bagi tujuan ini. Selain itu, ‘anti-disaster radio’ juga sentiasa menyampaikan maklumat terkini kepada penduduk.
Sistem evakuasi di Jepun juga teratur kerana ada kumpulan tertentu yang sentiasa diberi prioriti dalam suatu evakuasi bencana. Orang tua, wanita mengandung dan kanak-kanak diutamakan dan perkara ini telah dimaklumi oleh semua pihak sehingga tiada yang berebut-rebut untuk diselamatkan.
Dalam 3’s survival rules, manusia pada umumnya hanya mampu bertahan hidup dalam tempoh 3 minit tanpa udara, 3 jam dalam cuaca ekstrim (sangat panas atau sangat sejuk), 3 hari tanpa air dan 3 minggu tanpa makanan. Jadi, pasukan penyelamat Jepun meletakkan tempoh maksimum selama 3 hari untuk menyelamatkan mangsa bencana. Dalam banyak kejadian banjir, mereka mengerahkan helikopter dan pelbagai jentera canggih supaya semua mangsa dapat dipindahkan dalam tempoh 24 jam.
Kebanyakan penduduk Jepun juga didedahkan tentang penyediaan beg kecemasan dan barang-barang keperluan yang perlu ada di dalamnya. Biasanya setiap rumah memiliki beg ini dan diletakkan di tempat yang mudah dicapai ketika kecemasan.
Terakhir sekali, mengutip sampah. Ya, mengutip sampah sebelum berlakunya bencana alam! Nampak pelik, bukan? Tetapi inilah yang berlaku setelah pihak berkuasa mengeluarkan amaran bencana pada tarikh tertentu. Pihak yang menguruskan pungutan sampah akan membuat kerja-kerja pembersihan supaya saliran air tidak tersumbat ketika terjadi hujan lebat. Sebab itulah viral gambar-gambar mengenai betapa bersihnya kawasan penduduk Jepun ketika ditenggelami banjir.
Zunita Ramli adalah usahawan Malaysia yang telah lama menetap di Jepun. Buku pertama beliau akan segera diterbitkan iaitu Catatan Zunita Di Jepun. Ia adalah kompilasi pelbagai perkara menarik di ‘negara matahari terbit.’ Segera dapatkannya melalui www.medianusantara.asia