Baru-baru ini tular isu beg berat yang membebankan murid-murid sekolah rendah sehingga beberapa guru dan ibu bapa telah bertindak menimbang sendiri berat beg yang dipikul oleh anak-anak mereka. Bahkan ada yang membuat anggaran ‘kebantutan’ yang dialami akibat membawa beg berat sambil membandingkan dengan nasib murid-murid negara-negara lain. Kasihan apabila melihat bebanan berat yang ditanggung oleh kanak-kanak di Malaysia. Ia isu lama yang seakan-akan tak kunjung selesai.
Sebenarnya pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah menjalankan tiga kajian utama berkaitan beg berat murid sekolah rendah iaitu pada tahun 1994, 2008 dan 2017. Maka, dalam rangka penyelesaian secara holistik, KPM membuat ketetapan segera seperti berikut :
PENYEDIAAN LOKAR
KPM akan menyediakan lokar di sekolah rendah secara berfasa.
Fasa 1 melibatkan murid Tahun 1, 2 dan 3 yang terdiri daripada 10,662 buah kelas dengan 323,186 orang murid. Jumlah peruntukan tahun 2022 untuk fasa ini adalah sebanyak RM 37.3 juta.
Fasa 2 pula dijangka bermula pada tahun 2023 melibatkan murid Tahun 4, 5 dan 6 di sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi.
Bagi sekolah satu sesi pula, murid akan menyimpan buku di dalam laci meja di bilik darjah masing-masing.
PENYUSUNAN SEMULA JADUAL WAKTU
Melaksanakan jadual waktu yang mengandungi tiga hingga empat mata pelajaran sehari, mengikut kaedah dan pelaksanaan yang sesuai.
Sekolah diberi kelonggaran untuk menyediakan jadual waktu mengikut kitaran minggu sebagaimana yang sedang dilaksanakan oleh sebahagian sekolah bawah KPM.
BUKU LATIHAN
Bilangan buku latihan hendaklah tidak melebihi dua buah buku bagi setiap mata pelajaran pada satu satu masa. Setiap buku latihan hendaklah tidak melebihi 80 muka surat
BUKU AKTIVITI DAN BUKU KERJA
Murid hanya dibenarkan untuk menggunakan buku aktiviti yang disediakan oleh KPM manakala buku kerja hanya boleh digunakan sebagai bahan rujukan atau bahan ulang kaji di luar waktu pengajaran dan pembelajaran (PdP).
BUKU TEKS DIGITAL
Penerbitan baharu buku teks dalam format digital secara berterusan. Sehingga kini, sebanyak 692 judul buku teks digital telah dimuat naik dalam pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa). Murid yang mempunyai peranti boleh mengakses buku teks digital melalui pelantar DELIMa.
PENDEKATAN PDP
Guru digalakkan menggunakan pendekatan PdP berpusatkan murid iaitu pembelajaran bertema, modular, pembelajaran berasaskan projek, simulasi amali (virtual lab) atau pembelajaran terbeza.
KERJASAMA DENGAN JAKIM
Kerjasama dengan pihak Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) juga diadakan dari aspek penyelarasan uniform agar murid diberi kelonggaran untuk memakai uniform sekolah masing-masing semasa sesi persekolahan KAFA.
KPM akan bekerjasama erat dengan ibu bapa/penjaga bagi membantu menangani masalah beg berat murid, selain sesi libat urus dengan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) dalam aspek pemantauan. Semoga isu beg berat ini dapat diselesaikan secara tuntas!